Seminar Pemikiran Sasterawan Negara Siti Zainon Ismail
Pada 1 dan 2 November 2023, Dewan Bahasa dan Pustaka telah menganjurkan Seminar Pemikiran Sasterawan Negara Siti Zainon Ismail “Siti Zainon Ismail: Kembara Seni Berpadu dalam Puisi dan Prosa” bertempat di Balai Seminar Tun Dr. Hamdan Sheikh Tahir, Wisma DBP. Seminar ini telah berlangsung selama 2 hari.
Seminar Pemikiran Sasterawan Negara merupakan satu wadah yang membicarakan dan memperlihatkan kekuatan pemikiran dalam karya Sasterawan Negara setelah beliau menerima pengiktirafan tertinggi daripada Kerajaan Malaysia melalui Anugerah Sastera Negara. Seminar Pemikiran Sasterawan Negara ini telah diadakan sebanyak 13 kali dan pada tahun 2023, Seminar Pemikiran Sasterawan Negara diteruskan lagi dengan Sastera Negara ke-14 iaitu Sasterawan Negara Prof. Datuk Dr. Siti Zainon Ismail.
Sasterawan Negara ke-14 Prof. Datuk Dr. Siti Zainon Ismail dilahirkan di Gombak pada 18 Disember 1949, seorang penyair tanah air yang mempunyai pengalaman yang panjang dalam bidang penulisan seni sastera, budaya dan akademik. Beliau merupakan lulusan Sekolah Menengah Aminuddin Baki (1964-1968). Di samping meminati penulisan, Siti Zainon Ismail berbakat sebagai pelukis dan pernah dididik oleh Idris Salam dan Naz Achnas. Oleh sebab cita-citanya membumbung tinggi, dalam usia 20 tahun, selepas tamat Sijil Tinggi Pelajaran, beliau meneruskan pengajiannya di Yogyakarta, mengambil jurusan Seni Lukis di Akademi Seni Rupa Indonesia (ASRI). Beliau pernah berdampingan dengan pelukis terkenal Indonesia seperti Affandi dan lain-lain.
Seminar ini dimulakan dengan Ucapan Alu-aluan oleh SN Dato’ Dr. Anwar Ridhwan, Pengerusi Lembaga Pengelola DBP dan Ucapan Perasmian Seminar dan Pelancaran Buku oleh YB Puan Fadlina Sidek, Menteri Pendidikan Malaysia yang menyebut dengan jelas bahawa sumbangan Siti Zainon Ismail terhadap perkembangan sastera dan budaya memberikan kesan yang berimpak tinggi kepada pembentukan peradaban bangsa dan negara.
Kemudian seminar ini diteruskan dengan pembentangan daripada 16 orang pembentang yang mempunyai keahlian dalam bidang sastera. Para pembentang ini akan membentangkan kertas kerja mereka berdasarkan karya-karya daripada Sasterawan Negara ke-14, Prof. Datuk Dr. Siti Zainon Ismail. Pada hari pertama seramai 7 orang pembentang telah membentangkan kertas kerja mereka iaitu melalui sesi pembentang 1 terdiri daripada 3 orang pembentang iaitu Prof. Madya Dr. Kamariah Kamaruddin “Ilham Kembara Menurut Perspektif Islam dalam Novel Delima Ranting Senja”, Prof Madya Dr. Mawar Safie “Sastera Pelancongan dalam Himpunan Cerpen Galeri Szi” dan Datuk Lim Swee Tin “Pemikiran Sarwajagat Szi dalam Sajak Antologi Gemersik Tiga” manakala pada sesi pembentangan kedua terdiri daripada Prof. Madya Dr. Chew Fong Peng “Penilaian Buku Bergambar Angsa Istana Si Jambul Desa”, Ts. Dr. Mohd Saipuddin Suliman “Pemanfaatan Elemen Teknologi Realiti Berperantara”, Dr. Kaithiri Arumugam “Menelusuri Ekofeminisme dalam Puisi Pilihan Szi” dan Tuan Haji Che Abdullah Che Ya “Wanita dalam Novel Szi Zaidah Bayangan Dalam Diri Pengarang”.
Pada hari kedua pula masih lagi mempunyai dua sesi pembentangan iaitu pada sesi pembentangan ke-3 terdiri daripada Puan Ruzaini Yahya “Konsep Rantau dan Perjalanan dalam Puisi Pilihan Karya Szi”, Dr. Rohaya Md. Ali “Simbiosis Alam dan Manusia dalam karya Szi dalam Perspektif Kritikan Eko”, Dr.Raja Rajeswari Seetha Raman “Szi Melukis Kata dan Menulis Rona Kajian dari Perspektif Semiotik”, Puan Siti Salbiah Raduan (Tiras Raduan) “Kebijaksanaan Sasterawan Negara dari Taman Ilmu”, manakala sesi pembentangan terakhir terdiri daripada Prof. Madya Dr. Nik Rafidah Nik Muhammad Affendi “Koleksi Siti Kecil Manifestasi Psikologi Kepengarangan Szi”, Dr. Ariff Mohamad “Imej Visual Pernyataan Teks dan Makna Siratan Unsur Alam”, Dr. Shamsudin Othman “Manifestasi Rasa Rindu dalam Puisi Putih Sang Kekasih”, Dr. Rosnah Baharuddin “Meneroka Pancawarna Karya Seni Szi” dan Encik Zainal Palit (Zaen Kasturi) “Melihat Potensi Pembinaan Petunjuk Normatif dalam Puisi Szi”
Tujuan daripada Seminar ini adalah untuk mendokumentasikan hasil penyelidikan pengkaji tentang pemikiran Sasterawan Negara untuk dijadikan rujukan kepada Khalayak, menyebarkan korpus seminar kepada masyarakat supaya dapat menyumbang kepada kelestarian sastera kebangsaan melalui perbincangan yang tuntas oleh para pengkaji, memperkasakan kesusasteraan kebangsaan melalui aktiviti wacana dan penghasilan kertas kajian dan yang terakhir mengetengahkan pemikiran dan falsafah yang tinggi nilainya yang terkandung dalam karya Sasterawan Negara.
Seminar ini turut dihadiri oleh para penulis dan pengarang sastera di Malaysia. Tidak dilupakan juga dengan kehadiran mahasiswa dan mahasiswi di universiti berdekatan untuk memeriahkan lagi seminar ini. Kehadiran para pelajar universiti ini telah menunjukkan satu perkembangan yang positif dalam bidang sastera di Malaysia. Hal ini terbukti apabila mahasiswa dan mahasiswi dari Universiti Putra Malaysia (UPM) yang datang ke seminar ini hanya menggunakan kenderaan awam iaitu MRT dan mereka terpaksa berjalan selama 10 minit untuk sampai ke tempat tujuan kerana tidak mendapat kelulusan bas dari pihak universiti. Hal ini jelas menunjukkan bahasa para pelajar ini bersungguh-sungguh untuk mendapat manfaat daripada seminar tersebut. Para pelajar ini juga datang untuk memberikan dukungan kepada pembentang yang merupakan pensyarah-pensyarah di universiti atau pengarang-pengarang yang mereka minati. Hal ini kerana, para pembentang ini terpilih oleh pihak Dewan Bahasa dan Pustaka sendiri bukannya sukarela atau sebagainya. Hal ini menjadi satu kebanggan kepada pihak universiti dan para pelajar kerana pensyarah dan penulis kegemaran mereka terpilih untuk membentangkan kertas kerja mereka dalam program yang megah ini.
Di samping mendapat manfaat daripada seminar ini, para pelajar juga dapat berjumpa dengan para penulis dan pengarang sastera di Malaysia. Hal ini kerana, para penulis dan pengarang sastera ini berkumpul di seminar ini untuk mengikuti perkembangan dan melihat pembentangan kertas kerja daripada para pembentang.
Selain itu, para pelajar ini dapat membeli buku-buku daripada Sasterawan Negara dan para penulis di bawah penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dengan harga yang berpatutan berbanding apabila mereka membeli di kedai-kedai buku di luar sana. Pihak Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) telah memberikan potongan harga sebanyak 15% terhadap setiap pembelian buku. Potongan harga ini cukup tinggi dengan harga sebenar sesebuah buku. Mereka juga dapat membeli buku-buku daripada penulis yang menghadiri seminar ini dengan harga menulis. Dengan kata lain, para pelajar ini mendapat keuntungan yang banyak pada hari tersebut.
Pada hari terakhir Seminar Pemikiran Sasterawan Negara Siti Zainon Ismail ini, saya sempat menemu bual seorang pensyarah di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan penulis sastera iaitu Prof. Madya Dr. Mawar Safie untuk bertanyakan beberapa soalan berkaitan dunia sastera kini. Kata-kata beliau yang sangat menusuk kalbu saya ialah “Sastera ini bukan hanya untuk pelajar sastera sahaja namun sastera ini untuk untuk semua orang kerana SASTERA ini tentang kehidupan”. Hal ini menjelaskan bahawa sastera dapat berdiri setanding dengan bidang ilmu lain. Ini terbukti dalam buku yang disunting oleh beliau dan Prof. Madya Dr. Kamariah Kamarudin yang bertajuk “Apabila Profesional Menulis Titik Temu Sastera dan Sains” yang telah menghimpunkan cerpen-cerpen daripada penulis bukan dari bidang sastera.
Ringkasnya, Seminar Pemikiran Sasterawan Negara Siti Zainon Ismail ini telah menjadi langkah kanan untuk memartabatkan bidang sastera di Malaysia. Oleh itu, pihak-pihak berwajib mestilah memperbanyakkan lagi program seperti ini agar bidang sastera mendapat sambutan daripada orang ramai.
.jpg)
Comments
Post a Comment