Kritikan Filem Tempatan: Filem Pulang
Pulang ialah sebuah filem drama biografi sejarah Malaysia 2018 yang diarahkan oleh Kabir Bhatia. Filem ini diilhamkan daripada suatu kisah peristiwa benar yang berlaku pada tahun 1940-an. Filem ini ditayangkan di pawagam seluruh negara Malaysia pada 26 Julai 2018. Setelah filem ini mendapat sambutan hangat daripada penonton, sebuah novel adaptasi filem dengan tajuk yang sama telah ditulis oleh novelis terkenal, Lily Haslina Nasir dan diterbitkan oleh hasil kerjasama Primeworks Studios dan Penerbitan Karyaseni. Novel ini dikeluarkan pada Mei 2018 dan telah tercetak sebanyak 8000 cetakan. Lagu rasmi bagi filem Pulang ialah Layarlah Kembali nyanyian Dayang Nurfaizah dikeluarkan pada 7 April 2017 oleh Monkey Bone Records.
Sinopsis
Filem Pulang berlatar belakangkan tahun 1940-an semasa Jepun menakluk Tanah Melayu. Filem ini bermula apabila Othman seorang nelayan yang jatuh cinta terhadap Che Thom cucu kepada Che Puteh yang tinggal di Serkam untuk menjaga Che Puteh yang sedang sakit. Setelah kematian Che Puteh, Othman berkahwin dengan Che Thom dan mereka di kurniakan seorang anak lelaki bernama Omar. Kehidupan Othman sekelurga pada ketika itu ibarat kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Kehidupan Othman sekeluarga semakin susah apabila Jepun menjajah Tanah Melayu lebih-lebih lagi setelah tentera Jepun mengherat secara paksa lelaki melayu untuk dijadikan buruh paksa. Othman yang tidak ingin berpisah dengan Che Thom bertindak melarikan diri dari tawanan Jepun bersama seorang lelaki Cina bernama Lum. Konflik berlaku apabila Othman yang sejak azali lagi terasuh dengan laut dan ombak mula untuk kembali bekerja di tengah laut. Othman telah memohon untuk bekerja sebagai kelasi untuk mengubah nasib keluarganya dan mengikuti pengembaraan berlayar ke merata dunia. Thom, sebagai isteri tidak mampu untuk menghalang kehendak Othman walaupun dengan berat hati mengizinkan Othman untuk berlayar. Sebelum berlayar, Othman telah berjanji yang dia akan pulang dengan membawa kekayaan untuk sang isteri, Che Thom dan anak lelakinya, Omar. Dengan penuh kesabaran, isterinya akur dengan kepergiannya dan setia menunggu kepulangan suaminya. Tahun berganti tahun namun bayangan Othman tidak juga pulang ke Serkam. Che Thom yang tidak lagi dapat menahan rindunya terhadap sang suami membuat keputusan untuk mencari suaminya. Setelah mendapat khabar bahawa Othman kini berada di negeri China, Che Thom bergegas menaiki kapal seorang diri untuk membawa balik Othman. Ketika berada di atas kapal, Che Thom telah berkenalan dengan seorang wanita yang juga ingin ke China. Perkenalan singkat itu telah meletakkan kepercayaan Thom terhadap dirinya yang tidak tahu apa–apa ketika berada di atas kapal tersebut. Setelah sampai di negeri China, Thom diajak oleh wanita itu ke rumahnya. Thom yang tidak tahu selok belok negeri China itu mengikuti langkah wanita tersebut. Namun, wanita tersebut mempunyai niat tidak baik terhadap Thom. Dia ingin menjual Thom di rumah pelacuran mujur ada Lum yang menyelamatkan Thom. Lum yang terkejut mengetahui bahawa Thom sedang mencari Othman akhirnyakan menyatakan bahawa Othman kini sudah berada di London. Thom yang hampa kerana tidak dapat berjumpa dengan Othman akhirnya menyerahkan sepucuk surat kepada Lum untuk diberikan kepada Othman sekiranya Lum berjumpa dengannya dan pulang ke Serkam dengan hampa. Setelah 61 tahun, Thom masih setia menunggu kepulangan suaminya. Thom setia menunggu kepulangan suaminya walaupun tidak tahu sampai bila harus menunggu. Penantian Thom akhirnya selesai setelah dia menghembuskan nafas terakhir setelah mengetahui keadaan Othman lelaki yang ditunggunya.
Kritikan
1. Kepengarahan
Filem ini merupakan satu kisah yang nyata berlaku pada tahun 1940-an ketika Jepun menjajah Tanah Melayu. Pengarah utama bagi filem ini merupakan seorang pengarah, penerbit dan penulis lakon layar. Kabir Bhatia (lahir Kabir Subash Bhatia, 22 Oktober 1969) juga dikenali dengan nama islam iaitu Mohd Kabir Bhatia Abdullah. Beliau merupakan pengarah, penerbit dan penulis lakon layar India Malaysia kelahiran Mumbai, India. Beliau bersama isterinya, Mira Mustafa memiliki syarikat penerbitan Filmscape Sdn. Bhd. Antara filem-filem terkenal beliau ialah Sepi (2008), Setem (2010), Nur Kasih The Movie (2011) dan Gila Baby (2014). Kredit televisyen terkenal beliau yang lain termasuk Kekasihku Seru, Tower 13, Gemilang, Juvana dan Cinta Jangan Pergi. Pengarah merupakan individu yang bertanggungjawab semasa di set atau lapangan pengembaraan. Pengarah mempunyai bidang tugas yang besar bagi memastikan kelancaran dan kemudahan semasa di lapangan. Hal ini demikian kerana, pengarah perlulah mempunyai komunikasi dua hala yang baik bersama pengarah-pengarah bahagian lain. Sebagai contoh, pencahayaan, rakaman dan lain-lain Hasil daripada filem Pulang ini ditayangkan saya mendapati bahawa terdapat beberapa perkara yang boleh dibaiki dalam aspek kepengarahan termasuklah kaedah melontarkan dialog dengan baik. Sebelum memulakan sebarang lakonan di hadapan kamera, pengarah sewajarnya memberikan tunjuk ajar dan teguran yang baik kepada pelakon. Hal ini demikian kerana, terdapat beberapa babak yang dilakonkan oleh Remy Ishak (Othman) membuatkan saya sebagai penonton tertanya-tanya akan lontaran dialog beliau yang kurang jelas. Perkara ini menyukarkan penonton untuk menghadam setiap bait-bait dialog yang dilontarkan oleh watak. Selain itu, aspek kepengarahan yang ingin saya sentuh termasuk sesi latihan dan pengamatan terhadap sesuatu babak. Pada bahagian permulaan filem, perkenalan antara Che Thom dan Othman terlalu cepat sehingga penonton terkejut setelah mengetahui Othman telah berkahwin dengan Che Thom. Pada pandangan saya, proses perkenalan Othman dan Che Thom terlalu cepat apabila bermula di pasar dan terus kepada sebuah perkahwinan. Pengarah juga tidak menunjukkan babak dimana Othman dan Che Thom berkahwin tetapi menunjukkan babak dimana terlihat seperti Che Thom sedang mengandung. Oleh itu, pengarah haruslah memainkan peranan yang penting dalam memastikan setiap babak yang ditonjolkan dapat difahami oleh penonton. Panduan dan arahan yang jelas sebagai pengarah perlu ditingkatkan dalam filem ini. Pada pandangan saya, terdapat banyak babak yang tergantung dan tidak dihuraikan dengan baik kerana kekurangan daripada pihak pengarah. Hal ini dikatakan sedemikian kerana, seandainya setiap babak ditonjolkan dengan secara menyeluruh oleh pengarah maka babak-babak yang ditonjolkan akan sesuai dan wajar dimasukkan semasa penyuntingan namun disebabkan oleh terdapat babak-babak yang tidak menjadi secara tidak langsung mengakibatkan filem ini seakan-akan tergantung dan wujudnya subplot yang tidak terhurai. Filem yang sedemikian akan menimbulkan impak yang besar kepada sambutan dan pandangan penonton.
2. Sinematografi
Sinematografi adalah seni fotografi dan penceritaan visual dalam filem atau rancangan televisyen. Sinematografi merangkumi semua elemen visual di skrin, termasuklah pencahayaan, pembingkaian, komposisi, gerakan kamera, sudut kamera, pemilihan filem, pilihan lensa, kedalaman medan, fokus, warna, paparan dan suasana naratif visual filem. Pembuat filem sering memilih untuk menghabiskan sebahagian besar anggaran mereka untuk sinematografi berkualiti tinggi untuk menjamin bahawa filem itu kelihatan luar biasa di layar lebar. Walau bagaimanapun, saya berpendapat bahawa aspek sinematografi bagi fielm Pulang tidak mencapai standard yang diinginkan oleh penonton. Sudut kamera dalam babak tertentu amat kurang memuaskan seperti babak Othman dipukul oleh ombak ketika berada di tengah laut. Sudut kamera yang terlalu kecil sehingga penonton tidak dapat melihat dimana sebenarnya Othman berada ketika itu. Jika kaedah yang tepat digunakan dalam babak tersebut ianya mampu memberi kesan yang lebih mendalam terhadap senario berkenaan Selain itu, sinematografi dalam filem ini menyukarkan penonton untuk menghayati dan memberi fokus yang berterusan akibat daripada beberapa babak yang tidak bersambung antara satu sama lain. Contohnya babak dimana Othman yang cedera parah baru sahaja balik ke rumah setelah terlepas daripada tawanan Jepun terus ke babak mengayuh perahu ke tengah laut. Sambungan babak ini telah menimbulkan kehairanan dalam kalangan penonton sehingga menyebabkan penonton terpinga-pinga. Saya memahami bahawa, pengarah ingin mengurangkan durasi masa sesebuah filem namun begitu kesinambungan jalan cerita juga mestilah dititikberatkan oleh pengarah agar penonton dapat memahami jalan cerita yang ingin disampaikan. Saya juga ingin menyampaikan sebuah cadangan agar penyuntingan dan jurukamera mengambil rakaman dalam jarak yang sesuai jika ingin mendapatkan pencahayaan yang sesuai dengan babak yang ingin digunakan. Pihak sinematografi juga sewajarnya arif dan mahir untuk memahami keperluan sesuatu kamera rakaman untuk mendapatkann hasil rakaman yang cantik. Sinematografi pada bahagian penyuntingan filem ini wajar untuk dikritik agar dapat membawa banyak penambahbaikan dalam pembuatan filem. Pada era yang serba maju kini, banyak produksi menggunakan kemudahan alat bantu seperti Computer-Generated Imagery (CGI). teknologi CGI adalah teknologi yang tidak asing dalam industri filem terutama filem aksi atau sebarang genre filem yang memerlukan penambahan imej tertentu atau kesan-kesan khas yang tidak memerlukan sebarang tenaga manusia. Walau bagaimanapun, penggunaan teknologi yang canggih turut menelan kos perbelanjaan yang tinggi sekiranya imej atau kesan-kesan khas tambahan yang hendak digunakan supaya resolusi yang tinggi. Sebagai sebuah produksi filem sewajarnya mengambil berat terhadap penyaringan imej daripada CGI bagi setiap babak. Sebagai contoh, imej laut dan pukulan ombak tidak menunjukkan bahawa itu merupakan imej yang dilakonkan di tempat kejadian. Hasil imej tersebut amat tiidakk bersesuaian kerana tidak memberi impak seakan–akan benar dan kualiti imej yang dipilih juga rendah sehingga mengganggu penonton untuk memberi penghayatan penuh terhadap tayangan filem ini.
3. Busana
Filem Pulang menekan konsep zaman 1940-an dan era penjajahan Jepun kerana secara umum kita mengetahui bahawa pada tahun tersebut Tanah Melayu belum mendapat kemerdekaan. Selain itu, filem ini memfokuskan watak utama iaitu Othman dan Che Thom. perkara ini menjurus kepada pemilihan busana kearah kemelayuan. Terdapat beberapa busana bagi saya amat sesuai digunakan dalam filem ini termasuklah baju kurung, kain batik dan kain pelikat. Pada pendapat saya, penggunaan busana seperti ini amat sesuai dengan tema dan konsep era penjajahan Jepun di Tanah Melayu. Penggunaan kain batik sangat sinonim dengan watak wanita di Tanah Melayu sejak dari dulu lagi. Kain batik ini akan dipasangkan bersama dengan baju kurung atau kebaya. Pemakaian seperti ini melambangkan sifat alami wanita yang sopan dan ayu. Pemakaian seperti ini juga akan menyerlahkan kecantikan dan keayuan seorang wanita melayu. Bagi lelaki pula, kain pelikat akan digunakan untuk mengikat pada bahagian pinggang atau di bahagia kepala ketika mereka sedang bekerja. Selain itu, penggunaan songkok juga dapat dilihat dalam filem ini. Produksi filem Pulang menekankan bahawa penggunaan songkok pada era 1940-an tidak terlalu ketara. Penggunaan songkok hanya terlihat apabila terdapat majlis-majlis penting bukan dipakai untuk sehari-hari. Pemilihan busana yang sesuai ini telah menarik minat penonton untuk menyaksikan tayangan filem Pulang.
4. Audio
Lagu rasmi bagi filem Pulang, “Layarlah kembali” nyanyian Dayang Nurfaizah oleh terbitan Monkey Bone Records. Maksud di sebalik lagi ini ialah penantian seseorang terhadap orang yang disayanginya. Pada pandangan saya, lagu rasmi ini memberikan pengalaman yang tidak dapat dilupakan kerana setiap bat-bait lirik tersebut menyimpan pelbagai makna. Walau bagaimanapun, penggunaan audio ini pada sesetengah babak dimainkan dengan terlalu kuat sehingga dapat menjejaskan tumpuan penonton terhadap jalan cerita yang dipaparkan. Perkara ini membuktikan bahawa penerbit dan penyunting audio tiidak menjalankan tugas mereka dengan teliti dan terperinci. Penggunaan audio yang tidak terperinci dalam filem ini menyebabkan audio terdengar sumbang dan tidak selari dengan babak-babak tertentu. Sebagai contoh, dalam filem ini terdapat babak dimana ketikan kapal yang dinaiki oleh Othman dipukul oleh ombak besar sehingga kapal yang dinaikinya itu terbelah menjadi dua. Namun dalam babak tersebut, hasil audio-audio yang digunapakai amat mengecewakan sehingga saya berpendapat bahawa produksi filem ini tidak melakukan kerja mereka secara bersungguh-sungguh. Babak berkenaan sewajarnya menjadi salah satu babak utama dimana babak tersebut merupakan babak dimana Othman sudah tidak balik lagi ke Serkam untuk berjumpa dengan anak dan isterinya namun ianya telah disia-siakan oleh audio yang sumbang dan tidak sesuai.
5. Lakonan
5.1 Remy Ishak
Beliau memegang watak sebagai Othman yang merupakan watak protagonis dalam filem ini. Saya berpendapat bahawa pemilihan Remy Ishak dalam melakonkan watak pemuda melayu yang gagah perkasa amat sesuai ekoran bentuk badan dan wajah serta warna kulit beliau yang sedikit gelap jelas menunjukkan perwatakan pemuda melayu yang gagah perkasa. Selain itu, Remy Ishak juga telah lama berkecimpung dalam dunia industri ini sehingga beliau mempunyai banyak pengalaman untuk melakonkan pelbagai watak.
5.2 Puteri Aisyah
Beliau memainkan watak sebagai Che Thom isteri kepada Othman dalam filem ini. Watak ini merupakan watak yang dianggap paling sedih dalam keseluruhan jalan cerita filem ini. Filem Pulang ini sebenarnya filem pertama beliau setelah beberapa tahun menjadi seorang pelakon. Walaupun beliau masih baru dalam dunia filem, namun lakonan beliau mampu meninggalkan kesan yang mendalam terhadap penonton. Pada pendapat saya, beliau berjaya membawa watak seorang isteri isteri yang menunggu kepulangan suaminya dengan baik.
Kesimpulannya, filem Pulang yang diangkat daripada kisah nyata ini telah mendapat sambutan oleh rakyat Malaysia. Hal ini kerana, filem ini telah mengangkat sejarah nyata yang pernah berlaku di Tabag Melayu semasa era penjajahan Jepun. Secara tidak langsung, rakyat Malaysia khususnya golongan muda dapat melihat peristiwa yang berlaku pada era penjajahan Jepun itu secara visualisasi. Berdasarkan pengamatan saya sebagai pelajar dalam bidang kesusasteraan serta penonton berharap agar pihak berwajib seperti kerajaan dan kementerian serta badan bukan kerajaan (NGO) supaya membantu pihak-pihak produsi menciptakan filem yang berkualiti tinggi dan mampu bersaing di pasaran luar negara. Bantuan seperti kewangan, kemahiran dan pemikiran ini amat penting bagi meningkatkan kualiti filem di Malaysia

Comments
Post a Comment